Senjata individu Persenjataan Perang Vietnam

Raifel M-16

Raifel Tempur Colt M16

Senjata M-16 diperkenalkan semasa peringkat awal penglibatan Amerika dalam Perang Vietnam, menggantikan raifel M-14 yang digunakan sebelumnya. M-16 dianggap tidak sebaik senjata AK-47 yang digunakan oleh pihak musuh. Tetapi M-16 lebih ringan daripada senjata M-14 dan AK-47 dan menggunakan kaliber 5.56mm. Peluru M-16 beratnya hanya 55 grain berbanding 155 grain untuk peluru 7.62mm NATO. Dengan itu anggota tentera boleh membawa lebih banyak peluru pada beban yang sama. M-16 mempunyai daya tembakan 550 tembakan per minit dan boleh digunakan secara automatik di mana isi kelopak peluru dengan isian 30 butir boleh dikosongkan dengan sekali sahaja menarik picu.

Pada awal ia diperkenalkan, M-16 mempunyai masalah tersekat (rifle jam) dan perlu diloloskan. Masalah ini dikesan kepada kepercayaan askar Amerika bahawa senjata M-16 tidak perlu dicuci seperti senjata M-14. Bahan peledak yang digunakan dalam peluru M-16 juga “kotor” dan memburukkan keadaan. Masalah ini diatasi dengan pertukaran bahan peledak yang lebih bermutu dan pendidikan penjagaan senjata kepada askar-askar di medan tempur. Ruang peluru diledakkan (firing chamber) dikrom untuk mengurangkan kotoran. Selepas masalah-masalah ini diatasi dan askar menjaga versi M-16A1 mereka dengan betul, senjata ini berfungsi seperti yang diharapkan dan terus digunakan sehingga kini. Versi terbaru adalah jenis karbin M-4.

Tentera infantri suka menggunakan raifel M-16 dalam moda automatik dan apabila bertembung dengan musuh akan mengosongkan kesemua peluru dalam kelopak peluru. Ini dipanggil “rock and roll” oleh tentera infantri. Ini menyebablan penggunaan dan pembaziran peluru yang terlalu tinggi. Untuk mengatasi masalah ini, M-16A2 diperkenalkan dengan mode semi automatik di mana sekali tarikan picu akan melepaskan tiga butir peluru.

AK-47 Kalashnikov

Raifel Tempur AK-47

AK-47 adalah sejenis senapang tempur (assault rifle) buatan Soviet Union (kini Rusia) yang menjadi satu ikon pergerakan pemberontakan di seluruh dunia. Senjata ini adalah rekaan Mikhail Kalashnikov. Namanya bermaksud (Avtomat Kalashnikova)“Automatic Kalashnikov 1947”. Pada asalnya, senjata ini dibuat oleh Izhevsk Mechanical Works.

Senjata ini boleh beroperasi dalam konfigurasi automatik ataupun separa automatik dan menggunakan peluru kaliber 7.62x39mm (M43) katrij Soviet. Senjata AK-47 ini banyak dikeluarkan di Soviet Union dan negara-negara sekutunya dan dieksport ke serata pelosok dunia, khususnya bagi menyokong pemberontakan menentang kerajaan-kerajaan pro-Barat. AK-47 menjadi senapang tempur utama Soviet Union dan kesemua negara komunis dan juga pihak-pihak memberontak di Asia, Eropah, Afrika, Amerika Tengah dan di Amerika Selatan. Dalam tahun 1960-an, AK-47 digantikan dalam perkhidmatan Soviet dengan senapang tempur AKM (Avtomat Kalashnikova Modernizirovannyi) atau AK Moden, dan seterusnya oleh AK-74 yang menggunakan peluru berkaliber 5.45mm. Senjata ini masih dikeluarkan sehingga hari ini.

SIMONOV SKS 7.62mm


Senapang jenis Simonov SKS (Samozaryadnyj Karabin Simonova = Simonov Self-loading Carbine) adalah sejenis senapang karbin separa automatik yang dicipta oleh pencipta Soviet Union bernama Sergei Gavrilovich Simonov (1894 - 1986). Prototaip SKS dibuat pada awal tahun 1945, dan diuji di medan tempur dalam peperangan menentang tentera Jerman.

Selepas tahun 1945, karbin SKS dan katrij pelurunya diperbaiki dan diterima untuk kegunaan tentera Soviet dalam tahun 1949 bersama-sama senapang tempur AK-47. SKS diguna dengan meluas sehingga tahun 1970-an dan selepas itu mula ditarik balik dari kegunaan utama dan kini sama ada disimpan dalam simpanan ataupun telah dilupuskan sepenuhnya oleh pengguna-penggunanya. Walaupun demikian, senapang SKS ini masih digunakan untuk upacara istiadat rasmi oleh Pasukan Pengawal Kehormat Tentera Rusia (Russian Honor Guards).

Mesingan M60

mesingan M60

Mesingan M60 adalah sejenis mesingan tempur yang mempunyai kaliber 7.62mm. Secara formalnya, senjata ini dipanggil Machine Gun, 7.62mm, M60 menggunakan katrij peluru 7.62 x 51 mm yang disalur menggunakan belt feed.

Mesingan M60 boleh digunakan sebagai senjata pertahanan ataupun senjata serangan. Dalam kegunaan sebagai senjata serangan, ia boleh digunakan dengan kadar tembakan yang lebih tinggi, dan mempunyai jarak berkesan yang lebih jauh. Kaliber peluru yang digunakan juga lebih besar daripada peluru 5.56mm yang digunakan oleh senapang tempur M16. Sebagai senjata pertahanan, keupayaan mesingan disepadukan dalam persiapan pertahanan sesebuah unit tentera.

Mesingan M60 paling berkesan dalam jarak 1,100 meter apabila dipasangkan di di atas tripod. Jarak berkesan sekiranya menggunakan bipod pula adalah 800 meter. Kor Marin Amerika Syarikat menggunakan mesingan M60 sehingga jarak 1,500 meter dengan berkesan apabila digunakan oleh penembak yang terlatih.

Mesingan M60 telah digantikan secara amnya dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat oleh mesingan sederhana jenis M240 dan juga oleh senjata automatik skuad M249 SAW. Walaupun demikian, mesingan M60 masih digemari dan digunakan sebagai senjata bantuan dan dipasangkan kepada kenderaan.

Mesingan BROWNING M2 .50 Cal

Mesingan M2

Mesingan Browning jenis M2-50 cal adalah sejenis mesingan berat yang direka untuk kegunaan menembak kapal terbang. Ia dikenali dengan panggilan Ma Deuce ataupun 50-cal di kalangan anggota tentera Amerika Syarikat.

Mesingan ini direka oleh John Browning selepas Perang Dunia I dan dibina dalam beberapa bentuk Ada mesingan yang dibuat untuk kegunaan dipasang di atas kenderaan, dan ada pula versi yang digunakan sebagai persenjataan pertahanan dalam pesawat pengebom seperti B-17 Super fortress dan B-24 Liberator. Mesingan ini juga digunakan sebagai senjata utama di atas kapal terbang North American P-47 Mustang.

Mesingan ini digunakan secara meluas dalam Perang Dunia II, dalam Perang Korea dan Perang Vietnam. Mesingan ini masih digunakan sebagai senjata sekunder di atas kereta kebal dan kereta perisai dan juga sebagai senjata pertahanan di atas kenderaan.

Mesingan RPD 7.62mm


Mesingan RPD adalah sejenis mesingan butan Soviet Union yang digunakan oleh kebanyakan tentera negara-negara Komunis. Ia dibuat di Soviet Union dan Republik Rakyat China. RPD bermakna Ручной Пулемет Дегтярева (Ruchnoy Pulemyot Degtyareva) (Degtyarev light machine gun).

Mesingan RPD direka untuk Tentera Soviet dalam tahun 1944 untuk kegunaan sebagai senjata automatik bantuan untuk skuad tentera. Mesingan ini diterima untuk perkhidmatan dengan tentera Soviet dalam tahun 1950-an. Penembak boleh menggunakan mesingan ini secara meniarap menggunakan bipod yang ada di mesingan tersebut. Penembak juga boleh menggunakan mesingan ini secara berdiri dengan mesingan digantung di paras pinggang dengan bantuan satu tali galas. Peluru disuap masuk menggunakan non-disintegrating belt feed.

Di Republik Rakyat China, senjata ini ditiru dan dikeluarkan dengan beberapa pengubahsuaian dalaman dan diberikan nama Type 56. mesingan ini kemudiannya dibekalkan dengan banyak untuk kegunaan NVA dan juga NLF (Viet Cong) semasa Perang Vietnam.

Mesingan RPD digantikan dalam perkhidmatan tentera Soviet dalam tahun 1960-an dengan mesingan RPK (Ruchnoi Pulemet Kalashnikova). Mesingan ringan (LMG) yang lebih moden, Walaupun anggota tentera tidak sukakan pertukaran tersebut, mesingan RPD hanya digunakan oleh pasukan simpanan dan kini sudah tidak digunakan lagi oleh tentera Rusia.

Tentera gerila memberontak seperti Tamil Tigers (LTTE) masih menggunakan mesingan ini dalam pemberontakan mereka menentang kerajaan Sri Lanka.

Pelancar Grenad M79


Pelancar (atau Pelontar) Grenad M79 adalah sejenis senjata yang menjadi masyhur semasa mula digunakan di dalam Perang Vietnam. Tentera Amerika Syarikat menggelarkannya sebagai Thump Gun, Blooper ataupun Thumper. Di kalangan tentera Australia, ia dipanggil Wombat Gun.

Senjata ini kelihatan seperti senapang patah dengan laras yang besar yang dipotong pendek. Larasnya dipatahkan ke bawah untuk mengisi grenad. Senjata ini boleh menembakkan grenad tabur, damak ataupun insidiari. M79 membolehkan askar infantri melontar grenad 40mm sejauh 375 meter dan boleh melontar grenad asap ataupun letupan. Untuk tempur jarak dekat, grenad jenis flechette yang meledakkan sejumlah damak besi kecil digunakan. Grenad yang meledakkan peluru tabur juga diperkenalkan untuk kegunaan tempur arak dekat.

Dalam tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, tentera Amerika Syarikat mencuba memasang beberapa jenis pelontar grenad kepada senapang tempur M16. Satu versi senapang ini XM148 dihantar untuk kegunaan semasa Perang Vietnam.

Kini, pelontar grenad ini digantikan dalam perkhidmatan tentera Amerika Syarikat dengan pelontar grenad M203. Namun demikian, pelontar grenad M79 masih digunakan dalam beberapa peranan khusus dalam perkhidmatan polis dan tentera, seperti dalam ketenteraman awam.

M72 LAW

M72 LAW sedia untuk tembakan

M72 LAW pula adalah sistem senjata pakai buang menggunakan roket 66mm yang boleh digunakan menentang kereta kebal ringan ataupun perkubuan musuh. Walaupun hanya 2.3 kg, ia efektif sehingga jarak 200 meter.

Pelancar roket M72 LAW (Light Anti-Tank Weapon) adalah sejenis senjata pakai buang yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat. Senjata ini melancarkan sebuah roket anti kereta kebal dengan kaliber 66 mm dan boleh memusnahkan perkubuan musuh (bunker), kereta perisai ringan dan kenderaan lain. Senjata ini dibuat oleh Nammo Raufoss AS di Norway.

Senjata ini terdiri dari satu silinder pelancar yang diliputi dengan satu silinder pelindung yang kalis air untuk melindungi roket dan alat peledak roket (percussion cap) yang berada di dalam. Apabila hendak digunakan, silinder yang did alma ditarik keluar ke arah belakang, dan melangsungkan picu ke tempatnya dan menguncikan silinder tersebut. Senjata ini sedia untuk digunakan.

Apabila ditembak, bahan dorong (propellant) roket terbakar sehingga habis, mengeluarkan gas sekitar suhu 760° Celcius. Ini melonjakkan roket keluar daripada silinder dengan anjalan yang tidak kuat. Apabila roket terkeluar daripada silinder sepenuhnya, sirip kawalan roket akan terkeluar daripada pangkal roket untuk menstabilkan penerbangan roket. Setelah ditembak, silinder tadi dibuang begitu sahaja.

RPG-7


RPG 7 adalah sejenis senjata pelancar roket anti kereta kebal buatan Soviet Union. Di Rusia, ia dikenali dengan nama РПГ-7, dan dikeluarkan secara meluas untuk kegunaan Soviet Union dan sekutunya. Senjata ini juga dieksport dengan meluas dan boleh diperolehi dengan mudah di pasaran gelap.

RPG-7 (Ruchnoy [Handheld] Protivotankoviy [Anti-Tank] Granatomet [Grenade Launcher]-7) 6G3 adalah senjata anti kereta kebal mudah alih yang ditembak ketika dikandar di atas bahu untuk melancarkan sebuah grenad yang didorong tujahan roket. Senjata ini tahan lasak dan mudah digunakan. Ia juga murah tetapi mempunyai kekesanan yang tinggi. Ciri-ciri ini menjadikannya sistem pelantar roket yang paling banyak digunakan di dunia. Senjata kini digunakan oleh sekurang-kurang 40 buah negara, tidak termasuk pergerakan gerila pembebasan dan juga oleh kumpulan-kumpulan haram.

Senjata ini mula digunakan oleh Tentera Soviet dalam tahun 1961 untuk menggantikan senjata RPG-3 dan satu sistem pelancar dibekalkan kepada setiap skuad pasukan tentera. Konsep asalnya berteraskan sistem roket Bazooka buatan Amerika dan sistem Panzerfaust buatan Jerman.

Senjata ini digunakan dengan meluas di dalam semua konflik. Senjata ini digunakan untuk menembak jatuh 2 buah helikopter MH-60 Blackhawk semasa Pertempuran Mogadishu di Somalia (dikenali di serata dunia sebagai Blackhawk Down). Senjata ini juga digunakan oleh Taliban untuk menentang tentera Amerika dan tentera NATO di Afghanistan.

Model untuk kegunaan tentera payung terjun boleh dipecahkan menjadi du bahagian untuk memudahkan pergerakan anggota payung terjun bergerak ketika mengenakan payung terjun. Type 69 buatan China lebih ringan.

Versi yang dikeluarkan pada tahun 2001 dan sekarang digunakan oleh tentera Rusia adalah versi RPG-7V2 yang boleh melancarkan roket jenis biasa dan juga roket jenis HEAT (High Explosive Anti Tank), dan roket jenis thermobaric (proses di mana bahan letupan menggunakan oksigen daripada udara dan bukannya bahan pengoksidaan di dalam bahan peledak). RPG-7V2 mempunyai sistem pembidik UP-7V dengan kanta teropong untuk membolehkan pengguna membidik sasaran yang jauh.

Pelancar Grenad Mk 19

Pelancar grenad Mk19 40mm

Senjata ini mulanya digunakan oleh bot peronda sungai Tentera Laut Amerika (dikenali sebagai Pibber) dan boleh melontarkan grenad 40mm dari jarak minimum 75 meter sehingga jarak maksimum 2,200 meter walaupun ia paling berkesan sehingga jarak 1,600 meter. Senjata ini kemudiannya diambil guna oleh Tentera Darat Amerika dan pasukan Marin. Grenad M430 yang digunakan menyebabkan kematian dalam lingkungan 5 meter dari titik impak dan mencederakan dalam lingkungan 15 meter dari titik impak.

Pembangunan senjata Mk.19 ini dimulakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dalam tahun 1966 sebagai lanjutan pengalaman yang diperolehi dari Perang Vietnam. Sebelum itu, Tentera Laut Amerika Syarikat mencuba penggunaan beberapa senjata yang melontarkan peluru grenad jenis 40x46mm M406 dengan kelajuan rendah yang pada mulanya dibuat untuk kegunaan dengan pelontar grenad M79. Kesemua senjata tersebut tidak dapat melontarkan grenad kepada jarak yang diharapkan.

Pelontar grenad Mk.19 menggunakan peluru 40x53mm M384 dengan kelajuan tinggi, membolehkan pencapaian jarak lontaran yang lebih jauh dan mula dicuba dalam bulan Oktober 1967. Selepas ujian, pelontar grenad Mk.19 Mod.0 diterima untuk kegunaan pada awal tahun 1968, digunakan di atas bot peronda sungai dan juga di atas helikopter UH1 Huey Tentera Laut Amerika Syarikat.

Model Mk.19 mod.1 mula digunakan dalam tahun 1971 di Vietnam dengan penghantaran lebih 1000 pucuk senjata, terdiri daripada buatan baru ataupun dengan menaik taraf senjata dari Mod.0.

Rujukan

WikiPedia: Persenjataan Perang Vietnam http://psysim.www7.50megs.com/dustkelly.htm http://www.britains-smallwars.com/Vietnam/SP.htm http://www.danshistory.com/vietnam.shtml#kia http://www.historynet.com/magazines/vietnam/303011... http://www.imdb.com/title/tt0079652/ http://www.nostalgiacentral.com/movies/oddangrysho... http://keepourcountryfree.tripod.com/id18.html http://www.diggerhistory.info/pages-air-support/vi... http://www.vectorsite.net/avcrus_2.html#m3 http://www.globalsecurity.org/military/systems/air...